Pondok tanjung kapur(Takziah)


JITRA 18 Dis. - Sebanyak 40 pondok pengajian agama untuk remaja, Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah di Kampung Tanjung Kapur di sini hangus dijilat api dalam kebakaran, hari ini.
Kebakaran berlaku kira-kira pukul 1.30 petang ketika penghuni lelakinya menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid berhampiran.Ia merupakan kejadian kali kedua menimpa penghuni di situ dalam tempoh seminggu.
Jumaat lalu, sebanyak 23 buah pondok hangus dalam kebakaran yang berlaku pada waktu hampir sama.
Pengetua pondok pengajian agama itu, Sobri Osman, 53, berkata, ketika kejadian, dia sedang menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan dan hanya menyedari kebakaran itu selepas dimaklumkan oleh seorang penghuni.
"Kami bersyukur tiada penghuni yang cedera dalam kejadian ini. Kini hanya tinggal tujuh buah pondok bagi penghuni lelaki sahaja yang masih boleh digunakan.
"Buat sementara waktu, semua penghuni yang terlibat akan ditempatkan dalam surau di madrasah ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasan Ahmad ketika dihubungi memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada pukul 1.50 petang dan mengambil masa selama 20 minit untuk mengawal kebakaran.
Katanya, api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 4.50 petang dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM440,000. "Nilai sebenar kerugian dan punca kebakaran masih disiasat," katanya.

Jutaan takziah kepada ustaz sobri dan seluruh pelajar.Moga apa yang hilang diganti dengan yang lebih baik.

Bermaksud: Apa yang dari sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (QS. 16:96)