Tanggungjawab Ibu Bapa

Apabila memperkatakan tanggungjawab ibu dan bapa, maka ibulah yang selalu ditekankan.
Memang tidak dapat dinafikan besarnya peranan ibu dalam mendidik anak. Kalau tidak, masakan lahir ungkapan ‘ibu sekolah pertama’ , ‘tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia’ dan lain-lain yang seumpama dengannya.
Namun, ini tidak bermakna peranan bapa kurang penting atau bapa boleh berlepas tangan begitu saja. Bapa adalah ketua keluarga dan pemimpin dalam rumahtangga.
 Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka…” adalah ditujukan kepada mereka.
Terdapat banyak contoh dalam al-Quran dan as-Sunnah yang menunjukkan peranan yang dimainkan oleh bapa dalam mendidik anak.
Antaranya firman Allah yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”   (Luqman 31:13)
Jelas di sini, Luqman al-Hakim sebagai ayah menjalankan tanggungjawabnya secara langsung dalam mendidik anaknya. Allah tidak mengatakan ‘isteri Luqman berkata kepada anaknya’ atau ‘Luqman berkata kepada isterinya agar memberitahu anaknya’. Tetapi Luqman sendiri yang berbicara kepada anaknya dengan nada dan bahasa yang sangat lunak dan penuh kasih sayang.
Dengan menginsafi besarnya tanggungjawab dalam mendidik anak, seorang ayah akan berusaha sedaya mampu mendekati anaknya dengan belaian mesra dan kasih sayang. Ayah yang bertanggungjawab tidak akan berselindung di sebalik alasan sibuk, banyak kerja, ibunya ada dan sebagainya.
Lihatlah Abu al-Anbiya’ Ibrahim alaihissalam yang diperintah oleh Allah agar meninggalkan isteri tercinta bersama putera kesayangan yang masih kecil di bumi yang gersang, sepi dan kosong tanpa penghuni. Apabila baginda kembali semula ke tempat itu beberapa tahun kemudiannya, baginda tidak melepaskan peluang mendekati puteranya dan memastikan putera kesayangan itu mendapat didikan yang sempurna daripada bondanya.
Cuba perhatikan dan renungkan keadaan seorang ayah yang hebat dengan seorang anak yang beradab, digambarkan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: ‘Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?’ Anaknya menjawab: ‘Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar.”   (As-Saffat 37:102)
Lihat! Meskipun lama terpisah, jarak yang begitu jauh, tanpa alat komunikasi yang canggih seperti sekarang, baginda tetap mempunyai hubungan yang mesra dan intim dengan puteranya. Dan apabila menerima satu perintah yang perlu disampaikan, baginda sendiri berbicara dengan puteranya secara langsung ‘Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?’. Baginda tidak menyuruh isterinya menyampaikan dengan alasan isterinya lebih rapat dengan anak, lebih memahami hati dan perasaan anak dan lebih tahu cara serta masa yang paling sesuai untuk berbicara dengan anak.
Perhatikan pula kisah Nabi Allah Yaaqub bersama putera-puteranya. Ia jelas menunjukkan betapa rapat dan telusnya hubungan antara ayah dengan anak. Yusuf menceritakan mimpinya kepada ayah, bukan kepada ibu. Abang-abang Yusuf meminta izin daripada ayah untuk membawa Yusuf keluar bersama mereka. Mereka tidak menggunakan ibu sebagai orang tengah, dan Yaaqub juga tidak menyuruh isterinya menyelesaikan permintaan anak-anaknya. Gambaran yang cukup jelas menunjukkan rapatnya hubungan anak dengan bapa dan peranan yang dimainkan oleh bapa di dalam mendidik dan menunjuk ajar anak- anaknya secara langsung.
Daripada Umar bin Abi Salamah r.a., dia berkata: “Ketika masih kanak-kanak, saya berada di bawah peliharaan Rasulullah s.a.w. Pada waktu makan, saya menghulurkan tangan ke setiap penjuru dulang untuk mengambil makanan. Maka baginda berkata kepada saya: ‘Wahai anakku! Bacalah Bismillah, makan dengan tangan kanan dan ambillah yang paling dekat denganmu.’”  (Al-Bukhari dan Muslim)
Umar adalah anak tiri Rasulullah s.a.w. Baginda dengan penuh rasa tanggungjawab mendidik anak di bawah jagaannya secara langsung. Baginda tidak menyerahkan kepada ibu anak itu sahaja untuk mengajarnya.
Sama-samalah kita berdoa agar kita menjadi ayah dan ibu yang tahu tanggungjawabnya serta melaksanakannya dengan baik dan berkesan.